Jam menunjukkan 11:57pm. Dalam beberapa ketika sahaja nanti kita diusung ke tanggal 31 Ogos, 2007. Kami sekeluarga bergegas ke kereta, bertujuan menghampiri Dataran Shah Alam supaya (kononnya) dapat menyaksikan pertunjukan bungapi dengan lebih dekat.
Lewat bangunan SIRIM, jam menunjukkan 12:09am, namun sebarang dentuman tidak kedengaran, kelibat percikan bungapi tidak kelihatan. Kami mula tertanya-tanya, apa ada atau tidak acara tersebut? Dan dalam ‘perarakan’ kami di dalam kereta kecil itu, kami melihat di bahu-bahu jalan wajah-wajah menanti penuh mengharap. Kami beredar menghala ke rumah dengan sedikit hampa dan masih tertanya-tanya.
Hampir tiba di rumah, baru langit Dataran diterangi percikan api warna-warni. Kami pun berhenti dan melihatnya dari jauh. Heheh, jika begini, ada baiknya kami tidak keluar pun!
Tetap sahaja saya tersenyum melihatnya. Bersyukur kerana dapat juga menyaksikannya walaupun tidak seperti yang dirancang. Hidup memang penuh dengan kejadian yang tak dirancang. Dan keadaan sering sahaja mengingkari kemahuan kita. Tapi itu semua tak patut menghalang kita dari terus bersyukur dengan Apa Yang Ada. Malang sekali jika kita tidak mengenali apa yang kita ada lantas tidak mensyukurinya. Lebih malang apabila kita tahu akan apa yang kita ada, tapi kita tetap tidak mengendahkannya dan membiarkannya terabai.
Mungkin belum terlambat untuk saya kemukakannya: layari laman m50 kelolaan saudara Serigala, untuk melihat ucapan selamat sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50 Malaysia dari rakyat Malaysia di perantauan (juga di tanahair).
Racauan kali ini adalah mustahil tanpa bantuan saudara Jasdy yang menjadikan peralihan blog ini ke hosting baru lebih lancar. Terima kasih diucapkan!
Salam merdeka.