Dengan kerajinan yang dipertingkatkan, Pilihan Minggu Ini ini menampilkan 10 lagu pilihan.
Dan saya menulis sebab apa lagu-lagu ini dipilih. Harus dinyatakan bahawa lagu-lagu ini bukan baru, kebanyakannya sudah lama berada dalam koleksi, cuma belum berkesempatan untuk disiarkan.
Tokyo Police Club – Cheer it On!
Pembukaan yang rancak dari kugiran asal Kanada. Kugiran ini memainkan muzik rancak bertenaga ketika Kanada adalah Seattle baru (pada masa itu) – kiblat baru muzik indie.
The Antlers – Bear
Perkataan yang sesuai dijodohkan dengan bunyian hasil kumpulan ini adalah “atmospheric” dan “epik”. Gubahan indah dalam bentuk saat pop sempurna.
Little Joy – Don’t Watch Me Dancing
Nama ‘Little Joy’ pula adalah frasa yang sangat cocok dengan lagu-lagu hasil kumpulan ini. Umpama tenunan halus dengan rona-rona pastel pada hari Ahad.
The Stranglers – Golden Brown
Terus terang, lagu ini disertakan dalam senarai minggu ini hanya kerana saya berasa nostalgis akan waktu saya di Inggeris Raya. Lagu ini sering diputarkan di radio-radio berformat Classic Rock seperti Arrow atau Galaxy. Sekiranya kugiran sekarang mentafsirkan muzik retro sebagai muzik dari era 60′an dan/atau 70′an, The Stranglers (ditubuhkan sekitar tahun 1974) membawa retro ke Zaman Pertengahan Eropah!
Fuck Buttons – Space Mountain
Kumpulan ‘noise’ yang paling mudah didengari, saya kira. Terutamanya album ‘Tarot Sport’ [2009] mereka.
Namun begitu, bunyian yang mereka hasilkan mampu menenggelamkan segala deria tanpa mencicirkan kerangka dan melodi. Sekiranya anda berjaya mengkhatamkan Fuck Buttons, bolehlah anda beransur kepada Times New Vikings atau Nadja. Saya masih belum khatam.
Obadiah Parker – Hey Ya (Outkast cover)
Hey Ya nyanyian Outkast barangkali adalah lagu rasmi 2003. Di sini Obadaiah Parker berjaya menelanjangkan lagu ini kepada asasnya- yakni melodi yang kukuh. Lantas menjadikan lagu ini “milik” mereka.
Drive-By Truckers – Two Daughters and a Beautiful Wife
Berdasarkan kisah benar, lagu ini ditulis menceritakan kisah Bryan Harvey – yang dibunuh secara kejam bersama keluarganya. Tragis.
Those Dancing Days – Those Dancing Days
Judul lagu adalah nama kumpulan adalah judul lagu! Lagu ini mampu membuatkan anda menari hilang akal ketika tiada orang melihat tak kira di mana. Termasuk di dalam kereta.
The Pines – Heart and Bones
Folk sealiran Vetiver, Midlake dan yang sewaktu dengannya.
Frightened Rabbit – Keep Yourself Warm
Emo tapi macho. Saya ingin mengatakan bahawa bunyi Frightened Rabbit benar-benar menggambarkan tempat asal mereka di Selkirk, Scotland. Masalahnya saya tidak pernah ke Selkirk.